PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang giat meneruskan pemulihan aset dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di dalam dan luar negara seperti Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Taiwan serta Singapura.

Sehingga kini, SPRM dengan kerjasama dan bantuan agensi-agensi penguat kuasa antarabangsa telah berjaya memulangkan sejumlah RM20.5 bilion kepada kerajaan Malaysia.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat, SPRM memaklumkan terbaharu pada 12 November lalu, Commercial Affairs Department (CAD) Singapura telah membuat pemulangan wang berjumlah RM3.61 juta.

Pemulangan wang milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International Sdn. Bhd., Nik Faisal Ariff Kamil kepada Kerajaan Malaysia itu menerusi Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (Assets Recovery Trust Account) milik Kementerian Kewangan Malaysia.

Sebelum ini, Kerajaan Singapura juga telah membantu dalam pemulangan aset sebanyak RM64.42 juta kepada Malaysia melibatkan akaun Cutting Edge Industries Ltd. milik Datuk Tawfiq Ayman dan Samuel Goh.

Pada ketika ini juga, SPRM sedang dalam usaha untuk pemulihan aset bagi negara-negara seperti Switzerland, Kuwait, Mauritius, Cyprus, Hong Kong yang melibatkan individu yang mempunyai kaitan dengan kes 1MDB.


 
Sumber Facebook SPRMMalaysia