KUALA LUMPUR: Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dijangka hadir sebagai saksi pendakwaan bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi di sini, akan datang.

Ketika prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, pernyataan saksi sudah tersedia dan Zeti Akhtar akan membacanya dalam prosiding itu.

Sesi pemeriksaan utama pula katanya, akan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

"Bagaimanapun yang arif, beliau sedang bercuti tiga hari kerana demam," katanya.

Prosiding kemudian bersambung dengan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengemukakan hujahan terhadap permohonan pendakwaan untuk menerima masuk bukti audio rakaman dikatakan antara Najib dan kerabat Diraja Arab.

Najib, 69, berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.