2/3 rakyat Malaysia berpuas hati dengan kerajaan PH

Israr Khalid
Ogos 15, 2018 22:29 MYT
71 peratus rakyat Malaysia yakin dengan kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Hampir genap 100 hari pentadbiran Pakatan Harapan (PH), kajian Merdeka Center menunjukkan 2/3 rakyat berpuas hati dengan kerajaan pilihan mereka.
Secara amnya setakat Ogos 2018, tinjuan mendapati 67 peratus berpuas hati dengan prestasi kerajaan, menurun daripada 87 peratus berbanding peringkat awal peralihan kuasa.
Penerimaan rakyat terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menunjukkan 71 peratus setuju dengan pentadbiran beliau namun jumlah itu menurun dari 83 peratus penerimaan pada Mei pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mendahului senarai menteri yang diterima baik oleh rakyat pada kadar 75 peratus.
Ia diikuti Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 64 peratus, kemudian Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Dalam Negeri (62 peratus) dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (60 peratus).
Kos sara hidup kekal sebagai kebimbangan utama dengan 55 peratus daripada responden tidak berpuas hati dengan cara kerajaan menguruskan aspek itu.
Turut menjadi kerisauan adalah hal berkenaan melindungi hak dan kepentingan Melayu dan Islam, iaitu masing-masing pada 44 peratus dan 45 peratus tidak berpuas hati.
#Mahathir Mohamad #Merdeka Center #Mohamed Azmin Ali #Pakatan Harapan #PH #Wan Azizah Wan Ismail