KULAI: Dua lelaki yang sesat ketika mendaki Gunung Pulai, di sini semalam ditemui selamat di Kawasan Jeram Kulai, kaki Gunung Pulai, malam tadi.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Bahtiar Selamat berkata, mangsa dikenali sebagai Muhammad Syazwan Kamarulzzaman, 25 tahun, dan Muhammad Fadzrel Haziq Mohd Farid, 16 tahun.

"Pihak kami menerima maklumat dari saudara mangsa, terdapat dua lelaki dewasa telah sesat ketika melakukan aktiviti mendaki.

"PKO (Pasukan Keluaran Operasi bomba) bertindak menghubungi talian telefon mangsa bagi menjejaki lokasi semasa mangsa, tetapi rangkaian telefon tidak jelas.

"Operasi pencarian dijalankan dengan bantuan anggota polis," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Bahtiar berkata, kedua-dua mangsa ditemui selamat jam 10.45 malam dan dihantar ke Hospital Kulai dengan menggunakan kenderaan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) bagi rawatan lanjut.