MERSING: Seramai 20 awak-awak dan jurumudi bot penumpang dikesan positif dadah dalam operasi bersepadu yang dijalankan selama tiga hari di sekitar perairan Mersing, di sini.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, operasi itu dilaksana bermula 13 November lalu hingga semalam.

Katanya pihaknya bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Mersing melaksanakan Op Bersepadu bagi mengesan penagih dadah dalam kalangan komuniti maritim sekitar dan perairan Mersing demi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah.

"Mereka yang dikesan positif dadah jenis methamphetamine, opiat dan ganja itu kesemuanya adalah lelaki berusia 23 hingga 50 tahun.

"Dalam operasi selama tiga hari, pemeriksaan secara rawak telah dijalankan ke atas 89 individu termasuk 23 warga Indonesia berusia antara 20 tahun hingga 60 tahun.

"Daripada jumlah itu, 20 warga tempatan didapati positif ujian air kencing dan telah diberi jaminan bersyarat oleh AADK dengan mewajibkan hadir lapor diri di pejabat AADK pada hari yang ditetapkan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

"Kes disiasat dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952,"katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut Khairul Nizam operasi bersepadu ini dilaksanakan berikutan aduan awam serta maklumat diterima mengenai penglibatan jurumudi bot penumpang dan bot nelayan tempatan dalam aktiviti penyalahgunaan barang terlarang ketika melakukan aktiviti di laut.

Katanya operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa demi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dalam kalangan komuniti maritim.

"Ia sekaligus meningkatkan aktiviti perusahaan perlancongan yang selamat di perairan negeri Johor.

"Maritim Malaysia menegaskan kepada seluruh komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang dan sekiranya gagal, tindakan sewajarnya akan dikenakan.

"Komuniti maritim juga mestilah mematuhi peraturan keselamatan di laut agar kejadian tidak diingini berlaku ketika melakukan pelbagai aktiviti di laut terutama pada musim tengkujuh," katanya.

Sebarang aduan jenayah dan kecemasan perlu segera menghubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404.