KUALA LUMPUR: 20 anggota tentera telah disiasat bagi membantu siasatan berhubung kes rompakan berkumpulan di daerah Semporna dua bulan lalu.

Dalam jawapan bertulis Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat, kesemua mereka terlibat dalam dua insiden masing-masing pada 15 Ogos dan 18 Ogos lalu.

Kejadian rompakan di perairan itu berlaku di Pulau Siamil, Semporna.

"Kesemua suspek telah dijamin pada 25 September dan kes masih dalam siasatan selain KDN masih menunggu sehingga siasatan selesai.

"Kedua-dua kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompakan," katanya.

Jawapan bertulis itu susulan pertanyaan jawab lisan Datuk Seri Shafie Apdal (Warisan-Semporna) yang ingin tahu secara terperinci kejadian rompakan berkumpulan yang didakwa dilakukan anggota keselamatan negara pada Ogos lalu di Pulau Siamil Semporna.