200,000 rakyat miskin tegar terima RM600 hari ini

Astro Awani
Julai 16, 2023 23:15 MYT
Sejumlah hampir RM130 juta diperuntukkan di bawah inisiatif Payung Rahmah untuk membantu golongan kurang berkemampuan. - Gambar hiasan/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Seramai 200,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang dikategorikan sebagai miskin tegar berdasarkan data e-kasih akan menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARa) berjumlah RM600 hari ini.
Ia sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa ucaptama Majlis Libat Urus Belanjawan 2024, Jumaat lepas.
Antara lain, pemberian bantuan menerusi aspek perlindungan sosial untuk rakyat memerlukan itu dilaksanakan sebagai langkah awal merealisasikan naratif ekonomi MADANI sebelum pembentangan Belanjawan MADANI 2024.
Sejumlah hampir RM130 juta diperuntukkan di bawah inisiatif Payung Rahmah untuk membantu golongan kurang berkemampuan terutamanya kumpulan miskin tegar mendepani cabaran kos sara hidup.
Kerajaan berharap dengan jumlah RM600 itu ia boleh digunakan bagi mendapatkan keperluan barangan makanan asas.
Jika pelaksanaan SARa di Semenanjung Malaysia dibuat bermula hari ini, penerima daripada negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula akan mendapat wang masing-masing bermula 7 Ogos ini.
Sebarang semakan status kelayakan SARa boleh didapati di portal rasmi STR, di pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my/.
#Str #sara #kos sara hidup #keperluan barangan makanan asas