SAMARAHAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak merancang melantik sebuah syarikat penyedia perkhidmatan keselamatan bagi  memastikan garis panduan di semua 12 terminal feri di seluruh negeri dipatuhi pada tahap tertinggi.

Timbalan Pengarah JKR Sarawak Richard Tajan berharap inisitiaf tersebut dapat dilaksanakan segera dalam tahun ini.

Jelasnya, selain budaya tidak baik seperti memotong barisan, isu lain yang dirisaukan pihaknya ialah keengganan penumpang menggunakan jaket keselamatan semasa berada di dalam feri.

“Alasan mereka pebagai, termasuk jaket keselamatan yang disediakan kotor, sedangkan pekerja kami melakukan sanitasi sekerap mungkin setiap masa.

“Orang awam juga digalakkan membawa jaket keselamatan mereka sendiri atau membelinya di dalam feri dengan harga RM35.

"Kemudian, apabila jaket ini disediakan kepada penumpang, satu lagi masalah timbul, iaitu operator feri menganggarkan, sekitar 200 jaket keselamatan akan hilang setiap bulan,” katanya.

Berhubung perkara itu, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Negeri Datuk Douglas Uggah Embas tegas mengingatkan rakyat Sarawak agar mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) dan tidak melakukan sebarang bentuk pelanggaran SOP.

Katanya, walaupun pemakaian jaket keselamatan ke atas semua penumpang dan pemandu mungkin nampak remeh, ia sangat penting dan diperlukan demi menjaga nyawa.

“Orang awam juga diingatkan untuk tidak memotong barisan ketika memasuki feri, kecuali dalam kes-kes kecemasan melibatkan kenderaan dengan siren seperti ambulans, bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

“Tidak dibenarkan meletakkan kenderaan di tanjakan feri bagi mengelakkan kemalangan yang tidak diingini.

"Namun, dalam masa sama, semua operator feri juga diminta memastikan semua peraturan dan garis panduan ini dikuatkuasakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke Terminal Feri Triso dan Saribas bersama Menteri Muda Pembangunan Pelabuhan Datuk Majang Renggi pada Khamis.

Sementara itu, JKR juga mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk mewujudkan satu kawasan khas atau zon operasi feri bagi mengelakkan orang awam melakukan aktiviti perikanan di kawasan berkenaan.

Ia juga mahu mengadakan dialog dengan penduduk setempat bagi memastikan orang awam khasnya para nelayan memahami situasi bahaya yang akan dialami operator feri jika kawasan terminal tidak selamat untuk dilalui.

“Nelayan yang tinggal di sekitar tetminal feri suka memancing atau memasang pukat di kawasan berhampiran dengan terminal feri, atas sebab tertentu.

“Namun ia tidak selamat bagi perkhidmatan feri. Sebagai contoh pada Julai 2018 lalu, terdapat pukat nelayan yang tersangkut pada baling-baling feri dan ia menyukarkan ramai pihak,” katanya.