21 ditahan terlibat skim penipuan Likeshare, Zan Zan Lee, Isharefans dan E-Currency Investment Bitcoin

Afiezy Azaman
Mac 4, 2021 09:01 MYT
Ahli sindiket akan memulakan iklan tawaran pelaburan melalui platform media sosial seperti Facebook dan WhatsApp. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Polis menahan 18 lelaki dan tiga wanita disyaki terlibat dengan beberapa sindiket penipuan pelaburan.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob, operasi dilancarkan di Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kelantan pada Februari hingga awal Mac tahun ini.
Jelasnya, antara skim penipuan pelaburan itu termasuk LikeShare, Zan Zan Lee, Isharefans dan E-Currency Investment Bitcoin.
“Berdasarkan siasatan, ahli sindiket akan memulakan iklan tawaran pelaburan melalui platform media sosial seperti Facebook dan WhatsApp.
“Mangsa yang tertarik akan mula mengikut arahan sindiket untuk menyertai pakej pelaburan dengan modal rendah namun menjanjikan pulangan keuntungan berganda dalam tempoh yang singkat.
“Mangsa kemudian akan melabur dalam jumlah yang lebih besar agar mendapat keuntungan tinggi dan sindiket akan memutuskan perhubungan komunikasi dengan mangsa setelah mendapat jumlah pelaburan yang besar,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Zainuddin berkata antara barangan yang dirampas sepanjang operasi termasuk 28 unit telefon bimbit, 17 keping kad ATM, 11 keping kad kredit, kad Big Pay, dua set komputer, tiga unit komputer riba, tablet, tiga unit modem, router, sembilan set dokumen SSM, dua buah buku cek, cop perniagaan, salinan resit pelaburan, salinan borang bank, salinan penyata akaun, sebuah kereta dan wang tunai berjumlah RM11,930.
“Orang ramai diingatkan agar tidak terpedaya dengan iklan promosi pelaburan di media sosial dan buat semakan dengan agensi berkaitan bagi mendapatkan status skim pelaburan dan syarikat yang menawarkan pelaburan tersebut.
“Malah skim pelaburan yang berdaftar dan diiktiraf Bank Negara Malaysia (BNM) tidak akan menjanjikan keuntungan yang besar dalam tempoh masa yang singkat, justeru lakukan pengesahan akaun dan talian telefon melalui http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk kesahihan,” ujarnya.
Orang ramai juga boleh menghubungi CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559 atau 03-26101599 jika mempunyai maklumat berhubung penipuan di media sosial.
#sindiket penipuan #media sosial #penipuan pelaburan #Jabatan Siasatan Jenayah Komersial #Bukit Aman #polis #PDRM #Zainuddin Yaacob #likeshare #zan zan lee #isharefans #Bitcoin