Sebanyak 21 kes pulih dan dibenarkan discaj dari wad dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari Rabu, 1 Julai, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 8,375 kes, bersamaan 96.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Tambahnya, tiada kes kematian dicatatkan pada Rabu, iaitu selama 17 hari berturut-turut.

“Sehingga kini, sebanyak empat kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 121 kes,” katanya pada sidang media harian di sini pada Rabu.