KUCHING: Sejumlah 210,600 dos penggalak COVID-19 jenis Pfizer BioNTech daripada Belgium telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada petang Ahad.

Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBNS) Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, jumlah itu hanyalah sebahagian vaksin yang akan digunakan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) untuk dos penggalak di negeri itu melibatkan golongan tertentu.

Jelasnya, Sarawak telah diberi kepercayaan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF)  untuk melaksanakan pemberian suntikan dos penggalak pertama sekaligus menjadi perintis untuk program berkenaan di seluruh negara.

“Untuk Sarawak, Kumpulan Penasihat COVID-19 Sarawak (SCOVAG) telah mencadangkan untuk mengutamakan pemberian dos penggalak kepada sejumlah 340,000 individu yang berisiko tinggi, berusia 60 tahun ke atas dan pasukan perubatan barisan hadapan.

“Dos penggalak ini akan digunapakai untuk mereka yang telah menerima dos lengkap vaksin Pfizer, Sinovac, atau AstraZeneca dan telah melebihi tiga bulan dari tarikh kedua vaksinasi,” jelasnya melalui perkongsian di facebooknya pada Isnin.

Tambahnya, SCOVAG akan memberikan vaksin dos penggalak kepada golongan dalam keutamaan 1 dan 2 pada Oktober dan November depan.

“Jumaat lalu, pakar perubatan daripda Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan KKM telah meluluskan vaksin Pfizer sebagai dos penggalak hanya selepas enam bulan.

“Bagaimanapun tiada sebarang keputusan melibatkan polisi dibuat berkenaan vaksin yang lain sebagai dos penggalak dan tempoh masa selepas vaksinasi lengkap dibuat,” katanya.

Berdasarkan keputusan tersebut, SCOVAG ujarnya akan bekerjasama dengan lebih rapat dan segera bersama NPRA serta KKM untuk melaksanakan PICK dos penggalak di negeri itu.

“Program vaksinasi dos penggalak ini melibatkan petugas barusan hadapan dan mereka yang berusia 60 tahun ke atas, individu bawah 60 tahun yang mempunyai komorbid, dan individu dewasa 18 tahun ke atas.

“Kesemua golongan ini akan menerima dos penggalak jika telah menerima dua dos lengkap vaksin (selain vaksin Pfizer) dan telah menerima dos lengkap kurang daripada enam bulan dari tarikh kedua vaksinasi,” jelasnya lanjut.