Jumlah mangsa banjir di Simpang Renggam dekat Kluang meningkat kepada 212 orang daripada 51 buah keluarga pagi ini berbanding 190 orang daripada 40 buah keluarga pada Khamis,

Pegawai Daerah Kluang Mohd Fuad Radzuan berkata 212 mangsa itu ditempatkan di enam pusat pemindahan banjir berbanding tiga pusat pemindahan semalam.

"Sehingga 8 pagi ini, enam pusat pemindahan itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kencana yang menempatkan sembilan orang daripada tiga keluarga, Dewan Kampung Paya Palembang (74 orang, 15 keluarga) dan Dewan Kampung Kolam Air (62 orang, 12 keluarga)," katanya ketika dihubungi, pada Khamis.

Mohd Fuad berkata SK Sungai Linau pula menempatkan 16 orang daripada lima keluarga, Balai Raya Kampung Seri Maju Jaya (40 orang, 13 keluarga) manakala Dewan Orang Ramai Kampung Ithnin Maarof (11 orang, 3 keluarga).

Beliau berkata pusat pemindahan SK Sungai Linau mula dibuka pada 4.30 petang semalam, Balai Raya Kampung Maju Jaya dibuka mulai 7 malam manakala Dewan Orang Ramai Kampung Ithnin Maarof, 10 malam tadi selepas kediaman kesemua mangsa yang terlibat dinaiki air.

Sungai Machap kini mencatatkan paras amaran dengan bacaan 7.54 meter, Sungai Benut pula pada paras bahaya dengan 6.36 meter manakala Empangan Machap berstatus berjaga-jaga dengan bacaan 16.98 meter, katanya.