REMBAU: Malaysia dianggarkan memerlukan seramai 218 pakar paliatif iaitu komponen penting bagi perlindungan kesiatan dan penjagaan kesihatan primer, seperti yang dinyatakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun beliau berkata pihaknya mensasarkan untuk mempunyai 70 pakar paliatif di negara ini menjelang tahun 2030.

"Di Malaysia, dianggarkan seramai 150,000 pesakit dewasa memerlukan rawatan paliatif. Walaupun Perkhidmatan Penjagaan Paliatif telah berkembang di seluruh negara, namun KKM hanya mampu menampung rawatan sekitar 10-15 peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan tersebut.

"Buat masa ini, terdapat 19 pakar paliatif dengan tambahan 32 lagi pakar perubatan pelatih bagi rawatan tersebut di negara ini," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Hospis dan Rawatan Paliatif Sedunia 2022 di Hospital Rembau, di sini, hari ini.

Khairy berkata bertemakan Pemulihan Hati dan Komuniti, rawatan itu lebih menjurus kepada aspek pemulihan dan sokongan emosi terhadap ahli keluarga serta masyarakat, ketika berhadapan pesakit dan sewaktu menjalani fasa selepas kehilangan insan tersayang.

Khairy menjelaskan rawatan paliatif sangat diperlukan, memandangkan bilangan rakyat di negara ini berdepan dengan penyakit yang terminal semakin meningkat, dan rawatan bukan hanya membantu kepada pesakit, malah sokongan kepada ahli keluarga dalam mereka berdepan dengan fasa terakhir kehidupan mereka.

Turut hadir Ketua Setiausaha KKM Datuk Harjeet Singh; Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Perkhidmatan Paliatif Kebangsaan Dr Richard Lim Boon Leong.

Khairy berkata sepanjang tiga dekad lepas, sebanyak 30 badan kebajikan bukan kerajaan (NGO) telah membantu menyalurkan perkhidmatan paliatif di rumah pesakit seluruh negara.

"Bermula tahun ini, kebanyakan hospital negeri telah mempunyai Pakar Paliatif residen. Manakala bagi negeri Perlis, Terengganu dan Kelantan, perkhidmatan perubatan paliatif akan berkembang menjelang tahun 2025," katanya.

Dalam pada itu, bagi meningkatkan perkhidmatan paliatif di negara ini, Khairy menyatakan KKM turut melaksanakan strategi untuk memastikan rawatan paliatif tidak hanya tertumpu kepada hospital sahaja, tetapi juga kesihatan primer iaitu di peringkat klinik kesihatan dan juga rawatan di rumah.

"Banyak kes pesakit dan juga ahli keluarga memilih untuk balik ke rumah, mereka memilih untuk mendapat rawatan berdepan dengan peringkat akhir hayat di rumah masing-masing.

"Jadi sebab itu di bawah strategi kita, kita bukan hanya mengukuhkan di peringkat hospital dengan penambahan doktor pakar, penambahan jururawat tetapi juga meningkatkan akses kepada mereka yang berada di rumah melalui kerjasama dengan kesihatan primer dan NGO," katanya.

-- BERNAMA