Seramai 22 anggota Pemuda UPKO Bahagian Ranau, termasuk ketuanya Jackson Musi, mengumumkan keluar parti berkuatkuasa hari ini.

Keputusan dibuat antaranya kerana, anggota berkenaan, yang rata-rata ahli jawatankuasa Pemuda UPKO bahagian itu, hilang kepercayaan kepada kepimpinan parti.

Jackson dipetik Bernama berkata, mereka akan menyerahkan surat peletakan jawatan dalam masa terdekat.

"Pada mulanya, kami hilang kepercayaan kepada kepimpinan parti sejak penubuhan kerajaan campuran bersama Parti Warisan Sabah dan Pakatan Harapan (PH).

"Dan keduanya, khususnya di Ranau, kami telah hilang kepercayaan kepada anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan (Datuk Abidin Madingkir).

"Dia (Abidin) tidak peduli dengan UPKO Bahagian Ranau, hanya fokus kepada kawasan Paginatan," katanya pada satu sidang media di sini hari ini.

BACA: Ketua Pemuda UPKO letak jawatan hari ini

BACA: UPKO umum keluar BN, wujud kerajaan campuran dengan Warisan

BACA: UPKO keluar BN disebabkan suara rakyat Sabah yang mahukan perubahan

Jackson turut dilaporkan berkata, perpaduan dalam kalangan anggota UPKO juga terjejas sejak pemilihan parti pada 2015.

Beliau menasihatkan kepimpinan UPKO supaya mengambil tindakan bagi mengukuhkan parti itu agar sentiasa relevan.

Katanya, anggota yang keluar itu akan berehat sementara daripada politik, namun akan bersifat mesra kerajaan.