IPOH: Seramai 226 mangsa banjir dari 67 keluarga di Daerah Muallim dan Batang Padang, Perak dipindakan ke tujuh buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat pagi ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perak, Penolong Pesuruhjaya Pertahanan Awam Noor Azam Johari berkata, empat PPS dibuka di Muallim bagi menempatkan 138 mangsa daripada 39 keluarga dan tiga di Batang Padang menempatkan 97 mangsa dari 28 keluarga, termasuk dari sebuah rumah kebajikan orang tua.

Menurutnya, PPS di Muallim ialah di Sekolah Agama Rakyat Kg Rasa yang menempatkan 40 mangsa, SJKT Trolak (46), Pejabat Kemas Tanjung Malim (12) dan SK Kuala Slim (30).

“Di Batang Padang pula, PPS SJKC Chong Hwa menempatkan 17 mangsa dari rumah warga emas, PPS Sungkai Klah Baru dengan 38 mangsa dan PPS Dewan Semai Bakti Trolak Selatan menempatkan 42 mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, hujan lebat yang turun sejak petang semalam menyebabkan beberapa buah kampung dinaiki air.

Katanya, empat kawasan terlibat di Daerah Muallim iaitu Kampung Rasau, Trolak Pekan, Taman Slim Permai dan Kuala Slim.

Menurutnya, bagi Daerah Batang Padang pula, kawasan yang terjejas ialah Bidor, Sungkai Klah Baru dan Trolak Selatan.