Seramai 23,590 individu yang pulang dari luar negara telah ditempatkan di 68 hotel dan empat Institut Latihan Awam (ILA), serta Institusi Pengajian Swasta seluruh negara sejak 24 Julai lalu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 9,162 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 66 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

Katanya, seramai 14,362 individu pula telah didiscaj dan dibenarkan pulang.

"Mereka telah pulang dari 32 negara, termasuk Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India dan Jepun," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 11 operasi sanitasi dilakukan meliputi lapan zon iaitu tiga Zon Kuning dan lima Zon Hijau yang melibatkan enam buah negeri termasuk di Pulau Pinang, Sabah, Selangor dan Melaka.

"Operasi sanitasi ini melibatkan 45 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 70 anggota Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta 19 dari agensi-agensi lain. 10 jentera JBPM turut terlibat dalam operasi sanitasi," jelasnya.