KUALA LUMPUR: Sebanyak 23 kementerian selesai menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja yang berlangsung dua hari bermula semalam di Dewan Negara.

Setiap soalan yang ditanya 38 senator yang terlibat dalam sesi perbahasan sejak minggu lepas, kebanyakannya berkait kepentingan kawasan masing-masing, dijawab oleh menteri atau timbalan menteri dan jawapan diterima dengan baik.

Antara yang menjadi tumpuan ialah isu perpaduan dengan Kementerian Perpaduan Negara memaklumkan tiada keperluan untuk menggubal undang-undang baharu dalam menjaga perpaduan dan keharmonian negara setakat ini.

Dewan Negara dimaklumkan undang-undang sedia ada seperti Akta Hasutan 1948 dan pelbagai subseksyen lagi termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu Akta 588, memadai untuk memastikan keharmonian dan perpaduan kaum kekal terpelihara.

Sementara itu, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) pula menyatakan setakat suku keempat tahun lepas, peratusan liputan 4G di kawasan berpenduduk di Sarawak berada pada tahap 87.12 peratus.

Dalam usaha KKD membekalkan perkhidmatan komunikasi yang baik di Sarawak, sebanyak 90,840 premis telah siap disediakan dengan sambungan gentian optik bagi jalur lebar talian tetap, manakala baki 24,447 lagi dalam peringkat pelaksanaan, selain 3,546 alat pemancar komunikasi siap dinaik taraf kepada teknologi 4G, manakala baki 43 lagi dalam peringkat pelaksanaan.

Pada masa sama, Kementerian Kesihatan (KKM) pula memaklumkan pemberian ubat PrEP (Pre-Exposure Prophylaxis) secara percuma di 18 fasiliti KKM dilakukan sebagai usaha mengurangkan peratusan jangkitan penyakit seksual terutamanya HIV.

Penggunaan PrEP itu dikatakan 90 peratus berkesan dalam menghindari penyakit HIV daripada merebak sekali gus dapat menurunkan kadar jangkitan penyakit itu kepada individu yang tidak bersalah seperti pasangan, isteri atau anak-anak.

Persidangan bersambung esok dengan pembentangan dan perbahasan Belanjawan 2023.

-- BERNAMA