KUALA LUMPUR: Suatu kertas Pindaan Dalam Jawatankuasa yang mengandungi 23 pindaan ke atas Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 akan dikemukakan pada sidang Dewan Rakyat kali ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata cadangan pindaan yang akan dikemukakan sewaktu menyambung semula perbahasaan RUU itu melibatkan Tajuk Panjang, fasal 1, 2, 5, 13, 17, 21, 24, 26, 27, 28, 29, 30, 31, 33, 34, 35, 38, 49, 53, penambahan fasal baharu 54 dan pernomboran semula fasal 54 dan 55.

Beliau berkata Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Menimbang Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 pada 5 Okt lepas telah membentangkan laporan penyata yang mengandungi butiran prosiding serta rumusan dan syor JKPK bagi menambah baik rang undang-undang tersebut.

"Secara keseluruhannya, JKPK ini telah bermesyuarat sebanyak lima kali dengan semangat bipartisan yang matang dan harmoni bagi memperhalusi peruntukan-peruntukan di dalam rang undang-undang.

Ahli-ahli JKPK juga secara konsensus telah bersetuju dengan laporan penyata serta cadangan pindaan-pindaan yang perlu dibuat ke atas rang undang-undang ini," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Khairy yang juga Pengerusi JKPK berkata perkara yang telah dibangkitkan dan diperhalusi sepanjang mesyuarat berlangsung antaranya berhubung isu keperlembagaan; keperluan suatu akta baharu bagi mengawal selia produk merokok dan aktiviti melibatkan produk merokok.

Beliau berkata perbincangan ke atas had penguatkuasaan serta penalti bagi kesalahan dalam rang undang-undang itu seperti mana yang termaktub dalam terma rujukan JKPK juga diperhalusi oleh JKPK.

Bacaan pertama dan kedua rang undang-undang tersebut telah dibuat pada 27 Julai dan 1 Ogos lepas sementara satu usul bagi merujuk ia kepada JKPK Menimbang Rang Undang-undang telah dibuat pada 2 Ogos dan dipersetujui Dewan Rakyat.

JKPK menimbang Rang Undang-Undang itu dianggotai oleh 13 Ahli Dewan Rakyat yang dinamakan oleh parti masing-masing.

Menerusi konsensus yang dicapai oleh Ahli Dewan Rakyat daripada blok kerajaan dan pembangkang yang menganggotai JKPK itu, Khairy berharap Ahli Dewan Rakyat yang lain dapat turut bersama memberikan sokongan ke atas rang undang-undang itu apabila perbahasannya disambung semula untuk diputuskan demi kepentingan kesihatan awam di negara ini.

Rang undang-undang berkenaan antara lain mengetengahkan larangan merokok apa-apa produk tembakau atau pengganti tembakau serta larangan penggunaan peranti merokok, oleh mana-mana individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya serta bagi perkara berkaitan.

Ia bertujuan melindungi generasi muda daripada terjebak dengan tabiat merokok, selain mengurangkan kematian akibat penyakit berkait rokok.

-- BERNAMA