SIK: Seramai 24 pelajar lelaki Maktab Mahmud Sik di sini, disahkan positif COVID-19 hari ini, selepas menunjukkan gejala sejak 28 November lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, berkata mereka adalah kes positif dalam kluster institusi pendidikan dikenali sebagai Kluster Dah Pelangi.

"Selepas sejumlah pelajar menunjukkan gejala pada 28 November, pengurusan sekolah berasrama itu telah melaksanakan saringan bersasar kepada pelajar-pelajar dan kes mula didaftarkan sebagai positif pada hari ini.

"Seramai 38 individu telah disaring setakat jam 12 tengah hari tadi yang mana, 24 daripada mereka didapati positif manakala 14 yang lain negatif COVID-19," katanya di sini, hari ini.

BACA: 139 positif COVID-19, babitkan kluster di Sekolah Seri Puteri Cyberjaya

BACA: 9 guru, pelajar di 2 MRSM di Kedah, Perak disah positif COVID-19

Katanya, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sik juga juga telah menjalankan isolasi dan pemerhatian membabitkan kesemua 24 pelajar berkenaan manakala kesemua kontak rapat telah diarahkan untuk menjalani kuarantin.

Hayati turut memaklumkan PKD masih menjalankan siasatan berhubung punca penularan jangkitan melibatkan kluster berkenaan.

BACA: 24 pelajar Politeknik Sandakan positif COVID-19

BACA: 32 penuntut, pensyarah kolej matrikulasi di Kuala Pilah positif COVID-19

Selain itu, katanya Maktab Mahmud Sik turut diberikan notis penutupan sekolah bermula hari ini sehingga kerja-kerja basmi kuman dan pencegahan penularan selesai dijalankan.

Sebubungan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah menyeru orang ramai terutamanya pengurusan sekolah untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan oleh kerajaan dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian.