KUALA LUMPUR: Seramai 249 pelajar tajaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) lulus 100 peratus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang diumumkan pada Khamis.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd. Nizam Yahya berkata, beliau meneliti laporan penuh keputusan SPM di lima sekolah yang menerima sumbangan zakat MAIWP.

“Meskipun terlalu banyak cabaran yang terpaksa diharungi sepanjang pembelajaran dan sistem pendidikan dalam tempoh pandemik ini, para pelajar telah mampu mencatatkan kejayaan yang membanggakan.

“Semoga kejayaan ini mendorong mereka untuk lebih berjaya di peringkat kolej atau di institusi pengajian tinggi nanti, selain mengharapkan ia menjadi pembakar semangat kepada calon SPM tahun 2022 untuk mencapai keputusan lebih baik lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusan SPM pelajar institusi MAIWP di sini pada Jumaat.

Keputusan SPM | 249 pelajar SPM MAIWP lulus semua mata pelajaran

Lima sekolah berkenaan adalah Prestasi Pondok Moden Al-Abaqirah (PMA), Ma'alim Al-Sunan li Dirasati Al-Sunnah Al-Nabawiyyah (MSN), Sekolah Menengah Agama (SMA) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Kuala Lumpur, SMA MAIWP Labuan dan Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (SMISTA) Kuala Lumpur.

SMISTA mencatatkan seramai empat orang pelajar memperoleh kesemua 12A dan masing-masing lapan dan 10 orang pelajar yang mencapai 11A dan 10A.

Manakala, SMA-MAIWP Kuala Lumpur mencatatkan seramai tujuh orang calon SPM yang mendapat kesemua 11A, sembilan orang mendapat 10A dan lapan orang mendapat 9A. MAIWP Labuan pula mencatatkan seorang pelajar mencapai keputusan 10A.

Secara keseluruhan terdapat peningkatan bagi prestasi Gred Purata Sekolah (GPS) bagi institusi pendidikan MAIWP termasuk pencapaian kedudukan terbaik GPS SMISTA Kuala Lumpur iaitu 2.08 berbanding 2.55 pada tahun 2020, manakala GPS MSN mencatatkan 2.49 berbanding 3.38 pada tahun sebelumnya.

Tambah Mohd. Nizam, SMISTA menduduki tempat kesembilan daripada keseluruhan 180 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) sementara SMA-MAIWP Kuala Lumpur pula menduduki tempat yang ke-11 di seluruh Malaysia.

Terdahulu, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Nor Zamani Abdol Hamid mengumumkan seramai 336,630 calon SPM 2021 yang layak menerima sijil adalah iaitu 88.09 peratus daripada 407,097 calon yang mendaftar.