GEORGE TOWN: Sebanyak 25,663 atau 16.5 peratus daripada jumlah populasi kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun di Pulau Pinang sudah mengambil sekurang-kurangnya dos pertama vaksin dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Norlela Ariffin berkata, jumlah itu meningkat sehingga semalam berbanding hanya 530 orang pada 11 Februari lalu.

Beliau berkata, peningkatan jumlah itu menunjukkan prestasi memberangsangkan sejak ia mula dilancarkan pada 3 Februari lalu dengan pendaftaran PICKids setakat ini melebihi 64,300 setakat Jumaat.

“Melalui rekod yang diterima semuanya berjalan lancar dan prestasi pemberian vaksin bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di negeri ini baik sekali,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.

PICKids di Pulau Pinang bermula pada 7 Februari lalu dengan membabitkan kanak-kanak yang mempunyai komorbid.

PICKids dilancarkan pada 3 Februari lalu bermula di Lembah Klang dan menggunakan vaksin jenis Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan 80 peratus kanak-kanak di negara ini menerima vaksin COVID-19.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Norlela memaklumkan , sehingga semalam sebanyak 66.2 peratus populasi dewasa di negeri itu sudah mendapatkan suntikan dos penggalak COVID-19.

Jelasnya, daerah paling tinggi yang dicatatkan adalah Barat Daya dengan 75 peratus, Seberang Perai Tengah (74 peratus), Seberang Perai Selatan (72 peratus), Timur Laut (65 peratus) dan 45 peratus bagi Seberang Perai Utara.