MELAKA: Kira-kira 250 pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka sedia untuk diatur gerak pada bila-bila masa sekiranya berlaku sebarang bencana termasuk banjir kilat.

Pengarahnya Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata pihaknya juga mengenal pasti hampir 100 kawasan yang berisiko di Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin serta melakukan pemantauan di kawasan-kawasan sering dinaiki air sekiranya hujan lebat berterusan lebih dua jam.

"Tugas kita ialah memastikan mangsa di kawasan itu selamat dan membantu mereka berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya diminta, selain menguruskan mangsa yang tidak mempunyai keupayaan fizikal atau warga emas yang uzur atau tinggal seorang diri.

"Kerjasama masyarakat juga amat penting selain mereka perlu peka dengan ramalan cuaca dan mendengar arahan daripada pihak berkuasa sekiranya diarah berpindah bagi mengelak perkara tidak diingini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan pelepasan anggota APM pada Program Pendakian dan Kibaran Panji 70 Puncak Sempena Dekad Platinum APM di Bukit Beruang di sini.

Beliau berkata APM Melaka juga mempunyai 49 aset iaitu 19 bot, enam lori, 11 kenderaan pacuan empat roda, dua van, sebuah jet ski dan 10 ambulans yang turut sedia digerakkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Katanya APM Melaka juga akan menubuhkan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) di peringkat komuniti bagi setiap Parlimen di negeri ini sebagai pasukan yang akan memberikan bantuan awal sebelum pasukan penyelamat tiba di kawasan bencana atau berlaku kes kecemasan.

"Buat permulaan kita dalam proses menubuhkan CDERT komuniti di bawah Parlimen Masjid Tanah dan Parlimen Jasin terutamanya melibatkan kawasan yang berisiko berlaku banjir," katanya.

-- BERNAMA