PUTRAJAYA: Seramai 2,683 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 lantikan Contract of Services (CoS) tahun 2020, akan dilantik semula secara kontrak bermula selepas tempoh lantikan mereka tamat pada 9 Jun nanti, kata Datuk Mohd Radzi Jidin.

Menteri Kanan Pendidikan itu berkata, perkara tersebut telah mendapat persetujuan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) baru-baru ini.

Selain itu, Mohd Radzi berkata, pihak SPP juga telah mengeluarkan keputusan temuduga untuk CoS one-off bagi tahun 2021, dan pemohon boleh mula menyemak keputusan di www.spp.gov.my.

“Kita tahu guru-guru yang mana pengambilan CoS tahun 2020 mereka amat khuatir kerana akan tamat pada Jun 2022 ini. Dan untuk makluman semua, semalam kita telah mendapat makluman SPP bahawa mereka akan dilanjutkan tempoh mereka bagi membolehkan proses berkaitan pelantikan mereka sebagai guru di bawah bidang kuasa SPP dapat dilaksanakan.

“Guru-guru CoS 2020 jangan risau, kita dah dapat maklumbalas SPP semalam, tempoh akan dilanjutkan bagi membolehkan segala proses dapat dilaksanakan dengan baik. Begitu juga ada yang bertanya tentang CoS one-off yang kita umumkan akan dibuat sebelum 31 Mei, dan SPP telah mengeluarkan keputusan temuduga untuk CoS ini,” katanya lagi.



Beliau berkata demikian kepada media selepas selesai menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek SK Putrajaya Presint 8(3), di sini hari ini.

Sebelum ini lebih 2,600 guru CoS menzahirkan kebimbangan tentang status mereka, selepas kontrak tamat pada Jun ini.

Bagaimanapun Mohd Radzi telah memberi jaminan bahawa nasib mereka akan terbela, dan gaji mereka untuk Mei tetap akan masuk seperti biasa.

Mengulas mengenai projek pecah tanah tersebut, beliau berkata, SK Putrajaya Presint 8(3) merupakan antara yang disenaraikan dalam Rancangan Malaysia ke-11, dan Jabatan Kerja Raya akan membuat kerja-kerja pembinaan dengan segera.

sekolah tersebut akan menelan kos pembinaan sekitar RM38 juta, dan dijangka beroperasi pada Januari 2024.

Katanya lagi, sekolah tersebut akan menelan kos pembinaan sekitar RM38 juta, dan dijangka beroperasi pada Januari 2024.

“Pada masa ini, murid SK Putrajaya Presint 8(3) menumpang di SMK Putrajaya 11 (2) melibatkan 439 murid di 18 bilik darjah. Telah menumpang sejak tahun 2020. Keputusan beroperasi secara co-exist di SMKPP 11(2) adalah berdasarkan pertambahan keperluan bilik darjah bagi murid Tahun 1 kemasukan tahun 2020 di kawasan Presint 8.

“KPM sentiasa memberi keutamaan kepada isu kepadatan pelajar dan komitmen untuk menyediakan sekolah satu sesi. Sehingga kini, jumlah sekolah yang berada di Putrajaya adalah sebanyak 16 sekolah rendah dan 11 sekolah menengah,” katanya lagi.

Selain itu, Mohd Radzi berkata, terdapat tiga lagi projek pembinaan sekolah baharu di Putrajaya yang telah diluluskan bagi pembinaan, iaitu kompleks sekolah Presint 15, SK Putrajaya Presint 17(2) dan kompleks Presint 5(2).