KUALA LUMPUR : Sejumlah 275 belia berusia antara 18 hingga 30 tahun ditangkap atas kesalahan membabitkan rasuah bagi sejak 2020 sehingga Jun 2022.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Norazlan Mohd Razali, berkata daripada jumlah itu, seramai 21 orang berusia antara 18 hingga 23 tahun, manakala 254 lagi (24-30 tahun).

"Kedua-dua peringkat umur ini  melibatkan 231 orang lelaki dan 44 orang wanita.

"Antara kesalahan-kesalahan rasuah yang dilakukan ialah memberi rasuah yang melibatkan 70 orang, menerima rasuah (123) dan bakinya melibatkan lain-lain kesalahan rasuah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan upacara penutup Majlis Konvensyen Mahasiswa Antirasuah dan Pertandingan Akhir Speak Up di Universiti Malaya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya bagi tempoh sama, 151 orang telah dituduh di mahkamah, melibatkan 11 orang berusia 18 hingga 23 tahun, manakala 140 (24-30 tahun).

"Seramai sembilan orang belia berusia antara 18 hingga 23 tahun dan 76 orang belia berusia antara 24 hingga 30 tahun telah selesai perbicaraan dan didapati bersalah," jelasnya lagi.

Beliau juga berkata sebahagian daripada mereka yang ditangkap melakukan kesalahan rasuah itu bekerja dalam sektor awam.

Data-data yang dibentangkan tersebut katanya, wajar dijadikan peringatan kepada golongan pelajar memandangkan adackalangan pesalah tersebut merupakan bekas penuntut institusi pengajian tinggi.

Jelasnya lagi godaan rasuah, sama ada memberi atau menerima akan wujud terutama apabila pelajar memasuki alam pekerjaan.

"Justeru pelajar atau golongan muda perlu ada kesedaran untuk mengelak daripada terjebak.

"SPRM sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada pelajar-pelajar khususnya pemimpin mahasiswa untuk membantu menyebar luas mesej dan panduan antirasuah.

"Antaranya adalah melalui inisiatif-inisiatif pendidikan antirasuah yang boleh dirangka dan dilaksanakan melalui bimbingan serta kerjasama SPRM dan lain-lain pihak," katanya.