YAN: Seramai 28 individu yang berada dalam lokaliti tragedi kepala air di Gunung Jerai, Rabu lalu didapati positif COVID-19.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Othman Warijo berkata, daripada jumlah itu, tiga orang telah dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan lanjut manakala 10 kes lagi dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Sungai Petani untuk pengawasan lebih rapi.

Manakala 15 individu lain yang tidak bergejala serta mengalami gejala ringan diarahkan menjalani kuarantin di rumah masing-masing dengan diawasi oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Daerah Yan. 

Selain itu, terdapat 41 kes diklasifikasikan sebagai individu bawah pengawasan (PUS).

Othman menambah, saringan ke atas anggota pasukan keselamatan turut dijalankan dengan menggunakan kit ujian pantas (RTK) di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), Titi Hayun.

Sementara itu, seramai 275 individu terdiri daripada pegawai dan anggota bomba, polis, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Majlis Daerah Yan dan pelbagai agensi lain termasuk malim gunung telah menjalani ujian saringan itu.

Bagaimanapun, ujian saringan ke atas kesemua mereka didapati negatif.

Mengulas lanjut, Othman berkata, PKD Yan telah mengambil beberapa langkah segera bagi memastikan penularan COVID-19 tidak berlaku di kawasan bencana.

Katanya, antara langkah yang diambil ialah penilaian kesihatan segera terhadap semua pesakit COVID-19 dan merujuk pesakit berkenaan ke PKRC atau hospital, selain lawatan rumah ke rumah melibatkan semua kes COVID-19 serta PUS. 

PKOB Yan juga telah membuat ketetapan supaya semua badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam kerja-kerja sukarelawan perlu lengkap divaksin dan membuat ujian saringan COVID-19.