Sejumlah 3,511 Ketua Isi Rumah (KIR) masyarakat Orang Asli di beberapa negeri pada Sabtu mendapat manfaat bantuan pembekalan set bakul makanan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, KPLB maklumkan agihan bantuan itu antaranya diberikan kepada empat lokasi di Pahang iaitu Kampung Orang Asli (KOA) Sg Tementong, KOA Sg Garam, KOA Sg Mutan dan KOA Sg Sekin.

KOA lain di Daerah Johor Bahru dan Daerah Kota Tinggi di Johor, Daerah Gua Musang di Kelantan, Daerah Jempol di Negeri Sembilan serta Daerah Hulu Selangor, Daerah Hulu Langat dan Daerah Kuala Langat di Selangor.

Menurut KPLB, bantuan di empat lokasi di Pahang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, dengan nilai barangan yang diberikan kepada setiap ketua isi rumah sebanyak RM100 dan turut ditambah dengan kit kebersihan seperti antiseptik, penutup hidung dan mulut, sabun berubat serta tambahan susu tepung untuk kanak-kanak.

"Cara agihan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) melalui Tok Batin atau penghulu setiap kampung dan turut dipantau oleh Pegawai JAKOA Daerah bagi memastikan agar bantuan tersebut sampai kepada setiap ketua isi rumah yang berkenaan," menurut kenyataan itu.

KPLB melaksanakan agihan Bantuan Bakul Makanan sejak berkuatkuasanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas melalui JAKOA.

Agihan Bantuan Bakul Makanan fasa kedua bermula Jumaat dan dijangka dapat diselesaikan pada 20 April depan melibatkan 55,000 ketua isi rumah di 853 kampung di seluruh negara.

-- BERNAMA