Sebanyak 11,368 saman dikeluarkan dalam Ops Bersepadu Had Laju yang dijalankan selama tiga hari sejak Khamis hingga Sabtu di seluruh negara.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Supt Mustafa Bakri Salleh berkata kebanyakan saman iaitu lebih 5,000 membabitkan kesalahan memandu melebihi had laju manakala kesalahan yang lain pula adalah kesalahan seperti tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh serta melakukan pengubahsuaian.

Beliau berkata dalam operasi yang bermula pada 10 Ogos itu, melebihi had kelajuan yang telah ditetapkan merupakan kesalahan yang paling banyak yang dilakukan.

"Kita dapati kesalahan had laju masih tinggi, biarpun pelbagai amaran dan peringatan diberikan, pengguna masih gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan di kawasan tertentu.

"Operasi ini khusus untuk mendidik pengguna jalan raya agar lebih berdisiplin," katanya dalam sidang media Ops Bersepadu Had Laju di sini, pada Sabtu.

Jabatan imigresen yang turut serta dalam operasi bersepadu ini pula, menahan 16 warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Seramai 24 pemandu turut ditahan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) kerana ujian air kencing mendapati mereka positif dadah.

Beberapa pemandu juga turut dikesan berada dalam keadaan mabuk dan ditahan untuk tindakan lanjut.

Mustafa Bakri berkata Ops Bersepadu Had Laju itu disertai oleh 64 pegawai dan 583 anggota daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), AADK, Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar dan PLUS.