SETIU: Tiga kanak-kanak dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika mencari kepah bersama ahli keluarga mereka di muara Sungai Kampung Mangkuk, Setiu pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa dikenal pasti sebagai dua beradik, Muhammad Aryan Faheem Saiful Tarmizi, 7, serta kakaknya Nur Amni Insyirah, 9, serta seorang lagi kanak-kanak, Nurul Hasha Humaira Che Mohd Humaizi, 11.

Pengerusi Bencana Daerah Setiu, Rosli Latif berkata semua mangsa dipercayai berkunjung ke lokasi berkenaan bersama ahli keluarga mereka kira-kira jam 4.30 petang.

"Ketika kejadian, terdapat enam kanak-kanak mencari kepah sebelum mereka mula tenggelam. Tiga daripada mereka berjaya diselamatkan, namun tiga yang lain dihanyutkan arus," katanya di sini, malam ini.

Operasi SAR dijalankan oleh pelbagai agensi serta penduduk kampung.

Sementara itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) ketiga-tiga mangsa giat dijalankan membabitkan 107 anggota bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam  (APM) dan Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia (Rela).

Operasi SAR turut dibantu  penduduk kampung di kawasan sekitar.