SONGKHLA: Tiga pekerja State Railway of Thailand (SRT) maut manakala empat lagi cedera apabila sebutir bom meletup pagi ini berhampiran dengan tempat kejadian landasan kereta api dibom pada Sabtu lepas di Sadao, Songkhla.

Timbalan Komander Tentera Bahagian Keempat Mej Jen Paisan Nusang mengesahkan tiga pekerja SRT meninggal dunia di tempat kejadian manakala empat lagi cedera dan kini sedang menerima rawatan di hospital.

Beliau berkata insiden berlaku kira-kira 6.30 pagi (7.30 pagi Waktu Malaysia) dan ketika itu tujuh pekerja SRT berada di lokasi kejadian untuk menjalankan kerja-kerja memperbaiki landasan kereta api yang rosak akibat dibom itu.

BACA: Landasan kereta api Hat Yai- Padang Besar dibom

Beliau berkata satu letupan berlaku kira-kira 400 meter dari tempat kejadian pertama.

"Letupan kuat menyebabkan tiga pekerja meninggal dunia di tempat kejadian. Kerja-kerja mengeluarkan mayat sedang diusahakan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada Sabtu, sebuah kereta api barang mengangkut getah yang dalam perjalanan dari Hatyai ke Padang Besar tergelincir selepas di landasan kereta api itu dibom.

Dalam kejadian pada 12.50 tengah hari (waktu tempatan) itu, 11 daripada 15 gerabak kontena rosak dan tergelincir daripada landasan. Siasatan mendapati bom buatan sendiri seberat kira-kira 26 kilogram ditanam di atas landasan.

SRT memaklumkan tiada kecederaan dilaporkan melibatkan pekerja kereta api yang terdiri daripada dua pemandu, seorang juruteknik dan pekerja lain.

Insiden itu turut menyebabkan landasan mengalami kerosakan teruk.

-- BERNAMA