Kira-kira 30,000 masyarakat berbilang kaum hadir pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh di sini, hari ini.

Kemeriahan majlis sambutan itu bermula kira-kira 10 pagi sebaik Muhyiddin yang diiringi isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan keluarga, tiba di kompleks berkenaan.

Turut menghadiri majlis itu ialah Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ir Hamim Samuri; Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong; anggota Parlimen Parit Sulong Datuk Noraini Ahmad; Penasihat Majlis Agama Islam Johor Datuk Noh Gadut serta exco-exco kerajaan negeri dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor.

Muhyiddin yang sebelum itu bersama-sama kepimpinan dan anggota UMNO Bahagian Pagoh mengadakan majlis tahlil, meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan orang ramai yang hadir ke majlis rumah terbuka berkenaan.

Antara juadah istimewa yang dihidangkan ialah nasi beriani gam, sate, mee bandung, mee rebus, murtabak dan kuih raya.

Sementara itu, ADUN Bukit Gambir, Datuk M. Asojan berkata kemeriahan dan kehadiran masyarakat berbilang kaum pada majlis rumah terbuka itu membuktikan bahawa perpaduan antara kaum di negara ini sangat utuh.

"Ini semangat dan keunikan yang ada di negara kita apabila semua kaum hadir merayakannya bersama-sama," katanya.

Beliau seterusnya meminta semua rakyat di negara ini bersama-sama mengukuhkan perpaduan yang telah terjalin sekian lama.

Seorang pengunjung, Siti Norlida Mohd Akhir, 44, yang berasal dari Perak melahirkan rasa gembira dapat hadir pada majlis Rumah Terbuka Timbalan Perdana Menteri itu.

"Alhamdulillah saya sempat beraya ke rumah terbuka ini kerana suami bekerja di sini (Muar). Meriah sungguh apabila melihat semua kaum hadir," katanya.

Majlis itu berakhir kira-kira 3 petang.