LABUAN: Sebanyak 30.1 peratus daripada 11,700 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di pulau bebas cukai ini, telah lengkap divaksin di bawah Program Imunisasi Kanak-Kanak COVID-19 (PICKids) setakat semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata sejak sebulan lepas, terdapat peningkatan ketara dalam jumlah kehadiran kanak-kanak di pusat pemberian vaksin (PPV) yang ditemani ibu bapa masing-masing.

"Walaupun kami belum capai sasaran lebih 50 peratus, sekurang-kurangnya Labuan adalah antara negeri dan wilayah persekutuan dengan kadar vaksinasi tertinggi bagi kumpulan tersebut.

"Kami akan terus berusaha meyakinkan ibu bapa supaya membawa anak mereka ke PPV bagi menerima vaksin," katanya kepada Bernama hari ini.

Terdahulu, tarikh akhir pemberian vaksin dos pertama COVID-19 bagi kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun menerusi PICKids yang dijadual pada 15 Mei lepas, telah dilanjutkan sehingga 31 Mei.

Dr Ismuni berkata sehingga pukul 8 pagi semalam, jumlah kanak-kanak yang telah menerima vaksin adalah sebanyak 53.4 peratus daripada keseluruhan yang layak.

"Ini sekali gus membuktikan komitmen menggalakkan ibu bapa dalam melindungi anak mereka daripada COVID-19," katanya.

-- BERNAMA