Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menetapkan 30 peratus daripada jumlah katil di hospital untuk pesakit COVID-19 meskipun jumlah kes jangkitan virus itu semakin menurun.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata susulan penurunan itu, penggunaan katil di wad dan Unit Rawatan Rapi (ICU) akan ditambah dengan pesakit bukan COVID-19 secara berterusan tetapi dengan angka tertentu.

"Penggunaan wad COVID-19 di hospital kini adalah kurang daripada 15 peratus dan sekarang ini, kita ada tujuh hospital COVID-19 dan 33 hospital hibrid sedang digunakan.

"Jadi kita mulakan dengan 30 peratus dulu, walaupun kita tak gunakan katil itu dan kita akan meningkatkan (kadar penambahan pesakit bukan COVID-19) dan akan lihat (dari semasa ke semasa)," katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 di KKM, Ahad petang.

Beliau berkata pihaknya mungkin mengurangkan jumlah petugas COVID-19 di hospital dengan menggerakkan mereka di antara negeri.

"Staf-Staf kita ada ditempatkan di negeri lain, yang datang ke Selangor dan Kuala Lumpur sebelum ini, jadi sekarang kita mungkin mengurangkan jumlah staf kita.

"Kalau perlu, kita akan menggerakkan mereka dari negeri-negeri lain," katanya.

Ditanya mengenai kluster baharu di Gombak, Dr Noor Hisham berkata pihaknya mengenal pasti seorang petugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak yang didapati positif COVID-19 semasa melakukan saringan berkala.

Kluster itu dikenal pasti selepas lima kes positif wabak tersebut dikesan di lokasi tersebut.

-- BERNAMA