KUANTAN: Selepas mengalami masalah kewangan yang teruk akibat pandemik COVID-19, sebanyak 30 peratus daripada 160 Maahad Tahfiz swasta di Pahang terpaksa ditutup kerana tidak mampu menampung kos operasi.

Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran (PINTA) Pahang, Muhammad Abdul Salam Abdul Ghani berkata, jumlah itu dijangka bertambah sekiranya penularan wabak itu berlarutan bagi tempoh yang agak lama.

Ini kerana menurutnya, maahad tahfiz sudah tidak mampu bertahan memandangkan institusi pengajian agama terbabit tidak mempunyai dana yang tetap dan hanya bergantung kepada sumbangan dan yuran pelajar.

Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kebanyakan institusi berkenaan terkesan terutamanya berhadapan dengan sumber kewangan bagi menjelaskan bil utiliti, sewa dan gaji tenaga pengajar.

Selain itu, penutupan maahad taahfiz juga turut memberi kesan kepada kualiti hafalan para pelajar.

Sekiranya ia berlarutan, usaha untuk melahirkan generasi muda tahfiz al-Quran boleh terjejas.

"Andai kata pandemik ni berterusan dan madrasah tidak dapat meneruskan program operasi mereka seperti biasa, sekarang ini mungkin dalam 30 peratus, tetapi akan datang jika benda ni berterusan tak mustahil angka tersebut akan meningkat lagi mungkin sehingga 80 peratus.

"Ini kerana operasi tahfiz ini sangat bergantung kepada yuran pelajar dan sumbangan orang ramai. Kebanyakan tahfiz tidak mempunyai dana yang tetap, tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh, jadi bila tidak dapat operasi, pelajar tidak dapat kembali mengadakan pengajian mereka dan ini menjejaskan usaha membayar gaji guru dan sebagainya,” katanya.

Muhammad Abdul Salam yang juga pengetua Maahad Tahfiz Miftahul Qura' menjelaskan, setakat ini maahad tahfiz miliknya masih mampu bertahan biarpun berdepan dengan kewangan yang teruk ketika ini.

Beliau berharap, semua pihak termasuk kerajaan persekutuan atau kerajaan Pahang dapat membantu maahad tahfiz swasta di negeri ini.

Bagi mengelak lebih banyak lagi penutupan operasi sekolah berasaskan agama Islam ini, kerajaan digesa dapat mempertimbangkan semula pengoperasian maahad tahfiz dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Sementara itu, Mudir Madrasah Tahfiz Arrahimiyah, Abdul Rahman Khairul Anuar, mengakui berdepan dengan masalah kewangan sejak maahad tahfiz seliaanya tidak beroperasi akibat wabak COVID-19.

Selain daripada sumbangan orang ramai, Abdul Rahman menjalankan perniagaan kain pelikat sebagai ikhtiar untuk mendapatkan dana.

Justeru, beliau berharap agar pihak kerajaan menyediakan dana khas tahunan bagi membantu institusi pendidikan agama swasta seperti pusat tahfiz.

"Kami sebenarnya tidak berapa pandailah tetapi kami cuba beriktiar jugalah untuk menampung kos ini dengan menjual kain pelekat.

"Memanglah kesulitan bagi kami sebab bukan bidang kami tetapi kami cuba juga untuk meneruskan kehidupan melalui perniagaan," katanya.