KUALA LUMPUR: Sejumlah 30 peratus kad pengenalan kanak-kanak, MyKid, yang telah siap di Jabatan Pendaftaran Negera (JPN), belum dituntut oleh ibu bapa atau penjaga, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya, peratusan tersebut merupakan satu angka yang tinggi dan sehubungan itu meminta ibu bapa atau penjaga yang telah memohon MyKid supaya segera menuntutnya sebaik sahaja ia siap.

"Ini kerana MyKid mempunyai satu tempoh yang tertentu untuk mereka (ibu bapa atau penjaga) menuntutnya. Sekiranya ia tidak dituntut, ia akan dilupuskan dan ia merupakan satu kerugian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) kali ke-29 dan ke-30 di Maktab Polis Diraja Malaysia di Cheras, di sini, hari ini.

Pada masa yang sama beliau tidak menafikan rungutan bahawa berlaku kelewatan pemprosesan MyKid dan bagi mengatasi masalah itu, pihak Kementerian Dalam negeri (KDN) telah melantik sebuah syarikat bagi membekalkan kad MyKid.

"Apabila berlaku proses ketidakcukupan (bahan untuk membuat MyKid) maka proses untuk mengeluarkan MyKid juga terjejas dan terganggu.

"Oleh itu, saya telah mengeluarkan arahan khusus agar masalah (lambat peroleh MyKid) berkenaan ditangani segera termasuklah mengadakan perbincangan dengan meminta syarikat terlibat agar mematuhi prasyarat perkara yang ditentukan ketika proses pemerolehan tender," katanya.

Januarai lalu, media melaporkan kekurangan mikro cip di peringkat global menjadi punca kelewatan pengeluaran MyKid diserahkan kepada pemohon.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh dilapor berkata masalah itu berlaku sejak pandemik COVID-19 lalu dan JPN menangguhkan sementara pengeluaran MyKid.

-- BERNAMA