KOTA BELUD: Kegembiraan 20 pelancong tempatan di Eko Pelancongan Kampung Kaung Malaan bertukar cemas apabila kepala air dari Gunung Kinabalu melanda kawasan pelancongan tersebut.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, dua kumpulan pelancong daripada Sepanggar dan Ranau sedang beriadah di tepi sungai sebelum kepala air melanda kawasan tersebut secara tiba-tiba.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun, mereka yang panik kemudian bergegas menyelamatkan diri di sebuah dewan terbuka di tempat lebih tinggi sementara menunggu ketibaan bomba.

"Seramai 20 orang pelancong dari Ranau dan Sepanggar serta 10 orang staf di Eko Pelancongan Kampung Kaung Malaan terperangkap sewaktu kejadian kepala air berlaku.

"Mangsa bergegas menyelamatkan diri di sebuah dewan terbuka di tempat tinggi sementara menanti ketibaan bomba," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tambah beliau, sewaktu kejadian dua kenderaan milik staf Eko Pelancongan Kampung Kaung Malaan turut ditenggelami air kerana tidak sempat dipindahkan.

Katanya, semua 30 mangsa dilaporkan selamat dan pulang ke rumah masing-masing selepas air surut sepenuhnya.

"Kejadian berlaku dalam tempoh sejam sebelum surut sepenuhnya. Mangsa kemudian masing-masing pulang ke rumah selepas itu," katanya.

Beliau turut mengesahkan tiada laporan kecedaraan atau kemalangan jiwa yang berlaku susulan kejadian itu.