SEPANG: Minggu lepas, tanggal 21 Februari 2021, sejarah tercipta apabila kumpulan pertama vaksin Pfizer BioNTech tiba di bumi Malaysia.

Hari ini, 27 Februari 2021, bekalan pertama vaksin COVID-19 buatan syarikat biofarmaseutikal, Sinovac pula bakal tiba ke tanah air kira-kira jam 9.00 pagi nanti.

Penghantaran pertama vaksin COVID-19 Sinovac dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan menggunakan pesawat MH319 dikendalikan MABkargo Sdn Bhd (MASkargo).

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dijadual untuk hadir menyambut vaksin tersebut.

Turut dijangka hadir ialah Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Duta Republik China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Sebanyak 200 liter vaksin dalam bentuk cecair secara pukal diterbangkan dari China ke Malaysia dengan penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C) menggunakan pesawat Airbus 300.

Cecair tersebut kemudian akan diproses, diisi dan dibungkuskan oleh Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd menjadi lebih 300,000 dos daripada 14 juta dos yang dijadualkan diterima Malaysia secara berperingkat.

Perjalanan vaksin itu dari kilang Sinovac di Beijing, China telah diuruskan oleh Sinovac dan Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd melalui perjanjian di peringkat global.

Perolehan vaksin COVID-19 Sinovac ini sekali gus membuktikan hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Republik China dalam usaha menghentikan penularan pandemik.

Pada 13 Januari lalu, Pharmaniaga mengumumkan telah menandatangani perjanjian dengan Sinovac untuk membotol dan mengedarkan 14 juta dos vaksin COVID-19.

Susulan itu, syarikat tersebut dilaporkan dalam proses perbincangan dengan NPRA untuk mendaftarkan vaksin berkenaan sebelum ia mula dibotolkan pada Februari dan dijangka diedarkan pada akhir Mac.

Vaksin Sinovac telah melepasi ujian klinikal tahap ketiga di beberapa negara termasuk Brazil, Turki dan Indonesia.

Hasil ujian klinikal di Brazil mendapati keputusan 50.4 peratus kadar keberkesanan.

Selain Sinovac dan 12.8 juta dos Pfizer BioNTech, Malaysia juga dijangka memperoleh bekalan vaksin AstraZeneca-Oxford (6.4 juta dos), Sputnik V (6.4 juta dos), Fasiliti COVAX (6.4 juta dos) dan CanSinoBIO (3.5 juta dos) yang keseluruhannya mampu meliputi 82.8 peratus populasi rakyat Malaysia.