PENDANG: Seramai 337,765 Orang Bekerja Sendiri (OBS) di seluruh negara sudah menjadi pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) secara aktif membabitkan kutipan sebanyak RM77 juta sehingga Rabu lalu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, berkata, jumlah kutipan itu diperolehi sejak kerajaan mula memperkenalkan program Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) pada 1 Jun 2017.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 1,752 OBS telah menerima bayaran faedah sebanyak RM5.1 juta.

"Mereka yang mencarum itu termasuk petani, artis, penjaja, pekerja perkhidmatan dan pelancongan, yang dikategorikan sebagai OBS. Malah, seramai 1,752 OBS telah menerima bayaran faedah sebanyak RM5.1 juta, setakat ini.

"Selain itu, Perkeso turut melaksanakan program Geran Padanan SKSPS bermula tahun lalu, bagi menggalakkan lebih ramai pekerja sendiri yang dianggarkan lebih 810,000 orang di seluruh negara, turut mendapatkan perlindungan sosial dan manfaat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bakul Makanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA D-III, Titi Haji Idris, dekat Pendang pada Ahad.

 Mengulas lanjut, Awang yang juga Ahli Parlimen Pendang, berkata menerusi program Geran Padanan SKSPS, pencarum hanya perlu membayar sebanyak 30 peratus daripada RM232.80 bayaran setahun bagi skim caruman dua manakala baki 70 peratus akan dibiayai kerajaan.

Katanya, bagi meneruskan perlindungan terhadap golongan ini yang akan tamat pada 31 Disember depan, kerajaan bercadang untuk meningkatkan Geran Padanan kepada 80 peratus pada tahun depan berbanding 70 peratus pada tahun 2021 dimana pencarum di bawah skim dua hanya perlu mencarum sebanyak 20 peratus sahaja.