PADANG TERAP: Seramai 36 individu di pusat jagaan orang tua di Bukit Bethel dan Padang Nyiur di sini, menjadi penerima terawal vaksin COVID-19 daripada Unit Bergerak Vaksinasi COVID-19 Daerah Padang Terap, pada Rabu.

Pengarah Task Force Imunisasi COVID-19 (CITF) Padang Terap, Datuk Md Shuhaime Abd Rahman, berkata pasukan itu merupakan unit vaksinasi bergerak pertama di Kedah dan antara yang terawal di Malaysia.

Menurutnya, penubuhan unit vaksinasi bergerak itu merupakan salah satu inisiatif dalam memastikan kumpulan masyarakat terutama warga emas tidak menghadapi masalah menerima vaksin COVID-19.

Jelas beliau, sasaran bagi tiga bulan terawal adalah memastikan sekitar 3,000 warga emas di daerah ini menerima suntikan vaksin COVID-19 tanpa perlu hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

"Sekiranya unit bergerak ini menerima sambutan menggalakkan bagi fasa pertama sehingga Ogos ini, kita akan memperluaskan peranan unit berkenaan dalam memberi manfaat yang lebih besar kepada masyarakat di daerah Padang Terap.

"Bila capai sasaran untuk warga emas, kita akan buka kepada komuniti lain di sini... kita ada komuniti orang Siam, Cina dan penduduk luar bandar terdiri daripada belia dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan proses pemberian vaksin COVID-19 oleh unit itu di Rumah Jagaan Orang Tua Bukit Bethel, di sini, pada Rabu.

Sebelum ini, Pejabat Daerah Padang Terap dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Padang Terap telah melancarkan Unit Bergerak Vaksinasi COVID-19 yang pertama di negeri Kedah pada Selasa.

Menurut Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid, ia merupakan inisiatif bagi memudahkan orang ramai khususnya kumpulan sasar bagi Program Imunisasi COVID-19 (PICK) Fasa ke-2 seperti warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) di daerah itu menerima vaksin.