LANGKAWI: Seramai 38 orang daripada 10 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Syifa di sini, setakat 8 pagi ini berbanding 37 mangsa banjir malam tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Langkawi Kapt (PA) Ahmad Shahfikri Darus berkata mereka terdiri daripada 19 lelaki dan 13 wanita manakala empat kanak-kanak lelaki serta baki selebihnya ialah kanak-kanak perempuan.

"PPS ini dibuka lebih kurang pukul 8 malam tadi apabila kawasan rumah mereka sekitar Kampung Atas, Mukim Padang Mat Sirat dinaiki air selepas hujan semalam, tetapi cuaca pada pagi ini cerah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hujan bermula seawal 4 pagi semalam itu turut menyebabkan kawasan di beberapa Mukim di Langkawi termasuk Mukim Ayer Hangat dan Kuah dinaiki air namun tidak melibatkan perpindahan penduduk disebabkan air telah pun surut.

-- BERNAMA