39 individu ditahan langgar SOP, 1,613 cuba rentas negeri

Fareez Azman
Mei 23, 2020 08:02 MYT
Tegas Ismail Sabri, PDRM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang cuba merentas negeri tanpa kebenaran termasuk dikenakan kompaun. - Gambar fail
Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 39 individu dan mereman 18 individu atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selain itu, sebanyak 21 individu turut dikompaun atas kesalahan sama.
"Semua pihak diingatkan supaya mematuhi SOP dan peraturan yang telah ditetapkan. Kerjasama dan kawalan kendiri daripada anda semua amat penting dalam memerangi pandemik COVID-19 ini," katanya dalam sidang media pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ismail Sabri menegaskan, masih wujud segelintir masyarakat yang cuba merentas negeri tanpa alasan yang kukuh.
"Semalam juga,sebanyak 1,613 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung telah diarah berpatah balik oleh PDRM berbanding 2,539 pada hari sebelumnya.
"Negeri yang mencatatkan cubaan rentas negeri untuk pulang ke kampung tertinggi adalah Selangor (329), Kedah (211) dan Pulau Pinang (196," kata beliau lagi.
Tegas Ismail Sabri lagi, PDRM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang cuba merentas negeri tanpa kebenaran termasuk dikenakan kompaun.
#balik kampung #COVID19 #Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob #keselamatan #Malaysia #PDRM #Polis Diraja Malaysia #rentas negeri #SOP