'4,000 buah kereta' dikeluarkan dari Sungai Klang

Ridauddin Daud
April 21, 2021 09:59 MYT
Menggunakan teknologi baru dikenali sebagai Interceptor daripada The Ocean Cleanup, kerja-kerja membersihkan sungai menjadi lebih mudah dan efektif. - Gambar Twitter @ Boyan Slat
SHAH ALAM: Sungai Klang pernah tersenarai antara 50 sungai paling kotor di Asia Tenggara.
Mengalir di celah-celah kepadatan manusia dan industri, sungai sepanjang 56 kilometer itu boleh dikatakan umpama 'tapak pembuangan sampah terapung'.
Begitupun, melalui projek Selangor Maritime Gateway (SMG) yang bermula lima tahun lepas, sungai tersebut mungkin akan berubah wajah dalam beberapa tahun lagi.
Menggunakan teknologi baru dikenali sebagai Interceptor daripada The Ocean Cleanup, kerja-kerja membersihkan sungai menjadi lebih mudah dan efektif.
BACA: 'Interceptor' mula operasi bersihkan Sungai Klang
Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), Syaiful Azmen Nordin berkata, sehingga April 2021, sebanyak 67,000 metrik tan sampah telah dikutip di Sungai Klang.
“Kita buat projek pembersihan Sungai Klang ini dan setakat April 2021, kita sudah kutip 67,000 metrik tan sampah.
“Kalau nak jadikan kepada perspektif lebih mudah berapa banyak 67,000 metrik tan ini, ia bersamaan dengan 4,000 buah kereta.
“Jadi 4,000 buah kereta telah dikeluarkan daripada Sungai Klang,” katanya kepada Astro AWANI.

At Interceptor 002 in Malaysia. Insane to see all the stuff thats being taken out. Handbags, helmets + countless bottles and garbage bags... all of which now wont be entering the ocean. pic.twitter.com/SbRXkA0jcY

— Boyan Slat (@BoyanSlat) November 3, 2019
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Tambahnya, sebelum ini pihaknya memasang tujuh perangkap sampah sepanjang sungai dan dengan adanya Interceptor itu, ia ibarat ‘benteng terakhir’ bagi memastikan sampah tidak terlepas ke laut.
Jelasnya, sekiranya sampah sampai ke lautan, tugas untuk membersihkannya menjadi lebih sukar bahkan turut membahayakan ekologi di sana.
“Sampah ini asalnya daripada kita, daripada manusia sendiri. Kenapa sampah ini boleh sampai ke dalam sungai?
“Sebab kita tiada kesedaran, kita lupa yang kita buang sampah di atas jalan, botol plastik di atas jalan, botol-botolini akan sampai ke dalam longkang dan akhirnya ke dalam sungai,” ujarnya.
BACA: Sungai Klang mampu jadi sumber air untuk isi rumah, industri Selangor - Amirudin Shari
Usaha pihaknya itu menunjukkan hasil kerana sejak 2016, jumlah sampah di Sungai Klang merekodkan penurunan 27 peratus dan untuk masa depan, mereka menyasarkan penurunan sehingga 40 peratus.
Begitupun, tegas Syaiful Azmen, usaha membersihkan sungai tidak akan berjaya jika masyarakat tidak memberikan kerjasama sebaiknya.
“Masalah ini boleh diselesaikan kalau semua orang membuat ‘self enforcement’, kita sendiri yang kawal diri kita, bukan bila berlaku masalah, kita letakkan kesalahan kepada agensi penguatkuasaan.
Terdapat peningkatan pembuangan sisa klinikal di Sungai Klang
“Sedangkan kita sendiri tiada pengawalan diri, kesedaran mungkin ada tapi kita sendiri kena bergerak ke ‘self enforcement’, kita sendiri kena kawal diri kita,” katanya.
Justeru, beliau berharap semua pihak memainkan peranan sebaiknya agar Sungai Klang dapat berubah wajah sepenuhnya kelak.
#sungai klang #kotor #Interceptor #angkut sampah #sampah #Klang #kereta #SMG #Selangor Maritime Gateway #Sungai