TELOK MAS: Kira-kira 4,000 penjaja dan peniaga kecil di Melaka mula menerima suntikan vaksin menerusi program Mobile Outreach Vaksin Komuniti (MOVAK).

Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Azhar Ahmad berkata, ia dilaksanakan di dua lokasi di daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah selama empat hari bermula hari ini.
 
Dua lokasi berkenaan ialah di Kompleks Komuniti Desa Kemas Telok Mas dan Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Tanjung Bidara.

Beliau berkata, langkah itu bagi membantu kerajaan negeri mempercepatkan proses vaksinasi terutamanya kepada golongan peniaga memandangkan Melaka belum mencapai kadar 50 peratus individu dewasa berusia 18 tahun ke atas lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19.

Selain itu katanya, usaha itu juga akan diperluas di beberapa negeri lain termasuk Kedah dan Pulau Pinang.
 
“Kita telah mulakan program pertama di kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya di Selangor, itu hampir 400 lebih penjaja divaksin, dan di Perlis pun dalam lingkungan itu.

“Memang keutamaan kita di Kedah dan Pulau Pinang dan negeri lain pun keutamaan diberi kepada peniaga kecil yang berdaftar dengan PBT, ditambah dengan penduduk tempatan,” ujar Azhar.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pelaksanaan program berkenaan di Kompleks Komuniti Desa Kemas Telok Mas pada Khamis.

Pada program itu, dua bas disediakan di lokasi berkenaan bagi proses suntikan dengan dibantu oleh 20 sukarelawan yang dijangka mampu memberi 500 suntikan sehari.

Sebelum ini, KPKT dalam kenyataannya memaklumkan program MOVAK di bawah kementerian itu kini diperluaskan kepada komuniti peniaga kecil.

Program dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) diperluaskan kepada penjaja pasar malam, pasar tani, pasar pagi, pasar basah dan lain-lain peniaga yang termasuk dalam kategori penjaja dan berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).