Hospital kerajaan kini mempunyai 4,474 Pegawai Perubatan Pakar sehingga 30 September lepas, namun jumlah itu masih perlu dipertingkatkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata angka tersebut mewakili 91.9 peratus daripada 4,870 jumlah keseluruhan jawatan berkenaan.

Katanya terdapat bidang tertentu pakar amat berkurangan antaranya Pakar Perubatan Neurologi, Pakar Bedah Kardiotorasik, Pakar Perubatan Kardiologi, Pakar Perubatan Onkologi, Pakar Perubatan Paliatif, Pakar Perubatan Geriatrik dan Pakar Bedah Neurosurgeri.

"Di Kementerian Kesihatan, bilangan Pegawai Perubatan Pakar meningkat sebanyak 12.6 peratus daripada 3,845 pada 2013 kepada 4,333 pada 2014.

"Walaupun terdapat penambahan bilangan pakar, jumlah ini masih perlu dipertingkatkan untuk menampung keperluan perkhidmatan kesihatan untuk negara akibat faktor seperti peningkatan bilangan penduduk, peningkatan beban dan kompleksiti penyakit, peningkatan fasiliti kesihatan dan perkhidmatan kesihatan khususnya yang memerlukan tahap kepakaran yang tinggi, serta peningkatan jangkaan rakyat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata kerajaan amat prihatin dan sentiasa berusaha bagi mengekalkan kedudukan Pegawai Perubatan Pakar untuk bertugas di hospital kerajaan dengan melaksanakan pelbagai inisiatif.

"Antaranya meningkatkan jumlah pembayaran Elaun Kritikal daripada RM500 kepada RM750 mulai 1 Jan 2008, menambah baik skim Bayaran Insentif Pakar iaitu peningkatan RM300 hingga RM700 mulai 1 Jan 2009, mengikuti latihan di luar negara bagi kursus jangka pendek dan kenaikan pangkat pakar lebih cepat mengikut tempoh berkhidmat," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat bulan lepas, mengumumkan kerajaan bersetuju untuk mewujudkan lapisan gred baharu iaitu Gred UD56 bagi Pegawai Perubatan Pakar.

-- BERNAMA