JOHOR BAHRU: Empat lelaki tempatan yang terlibat dalam kegiatan pemberi pinjaman wang tanpa lesen (ah long) ditahan dalam dua serbuan berasingan di dua premis sekitar Bukit Pasir dan Taman Banang, Batu Pahat, minggu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, empat suspek yang ditahan berumur 23 hingga 36 tahun itu turut melakukan perbuatan khianat dan ugutan jenayah terhadap mangsa dan keluarga mangsa.

Menurut beliau, sindiket berkenaan telah beroperasi sejak 2019 lagi.

"Hasil semakan rekod jenyah mendapati tiga daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau dalam kes perjudian, kekerasan, judi dan ah long.

"Hasil soal siasat yang dijalankan ke atas semua suspek mengaku terlibat dalam sindiket ah long dan menawarkan pinjaman SG$300 hingga SG$1,000 dengan bayaran bunga 20 peratus kepada peminjam.

"Kebanyakan peminjam adalah warganegara tempatan yang bekerja di Singapura," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Kata Ayob Khan, turut dirampas dalam serbuan itu ialah lima buah komputer riba, 21 telefon bimbit, 18 kad ATM pelbagai bank, 72 sim kad, wang tunai RM9,700 dan rampasan-rampasan lain.

Jelas Ayob Khan, kesemua suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama sembilan hari, bagi tindakan dan siasatan lanjut.

"Polis Johor menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat pinjaman atau berurusan dengan pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau ah long kerana kadar bunga yang tinggi, syarat pinjaman tidak jelas dan terdedah dengan ancaman ugutan, bencana serta kerosakan harta benda," katanya.

Kes disiasat di bawah seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api ke atas kediaman dan Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1952 menjalankan aktiviti pemberi pinjaman tanpa lesen.