KUALA TERENGGANU: Empat daerah di Terengganu dijangka mengalami masalah gangguan air berjadual menjelang perayaan Aidilfitri.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU), Abdul Karim Endut berkata, daerah terlibat adalah Marang, Hulu Terengganu, Setiu dan Besut.

Menurut Abdul Karim, gangguan air itu berlaku susulan peningkatan permintaan air yang tinggi ketika musim perayaan.

"Mungkin kerana selepas dua tahun keluarga yang di perantauan balik raya, tahun ni mereka semua sudah mengambil peluang untuk balik raya dan permintaan telah menaik dengan mendadak di Besut dan Setiu.

"Ditambah lagi dengan keadaan di mana di Setiu kita ada tangki yang membekalkan air ke Pulau Redang yang sering kali bocor di dasar laut dan itu memberi kesan kepada paras tangki di kawasan Setiu," katanya.

Abdul Karim berkata bagi mengatasi masalah tersebut, SATU turut melaksanakan bekalan air berjadual untuk memastikan bekalan air dapat disalurkan pada siang hari.

Selain itu, sebanyak 86 buah tangki air statik diletakkan di lokasi yang terjejas dan enam buah lori tangki akan digerakkan secara berkala bagi menampung jumlah permintaan air.

Jelasnya, kerja-kerja menempatkan tangki air statik dan lori tangki ke kawasan terlibat akan dimulakan seminggu sebelum dan seminggu selepas perayaan Aidilfitri.