KUALA LUMPUR : Empat perkampungan di daerah Temerloh, Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok sehingga 27 April depan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD itu melibatkan Kampung Paya Pulai Tengah; Kampung Pulau Terap; Paya Pulai-Kampung Batu 4 dan Paya Pulai-Kampung Batu 5, Jalan Maran.

Ujarnya, KKM mengesahkan telah berlaku penularan jangkitan COVID-19 di lokaliti tersebut dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

"Secara kumulatif sebanyak 16 kes positif COVID-19 telah direkodkan hasil daripada 234 ujian saringan yang telah dilaksanakan.

"Pelaksanaan PKPD ini untuk memastikan pergerakan penduduk di lokaliti ini dapat dikawal bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti luar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya kerajaan juga bersetuju melaksanakan PKPD di Flat Sim-Sim, Mukim Berhala dan Kampung Sungai Obar, Batu 7, Mukim Sentosa, daerah Sandakan berkuat kuasa esok sehingga 27 April 2021.

"Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 38 ujian saringan di kawasan perumahan Sim-Sim dan daripada jumlah itu, secara kumulatifnya sebanyak 17 kes positif COVID-19 direkodkan.

"Sebanyak 46 ujian saringan juga dilakukan di Kampung Sungai Obar, Batu 7, Mukim Sentosa, dan 10 kes positif telah direkodkan," ujarnya.

Selain itu, PKPD turut dilaksanakan di Taman Villa Mas, Tawau dan Kampung Melangkap Tomis, Kota Belud, Sabah bagi tempoh sama.