KOTA KINABALU:Empat lagi sekolah di daerah Sandakan diarah tutup akibat jangkitan COVID-19, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah, Datuk Masidi Manjun.

Beliau berkata berdasarkan maklumat daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, sekolah yang terkesan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sandakan, Kolej Vokasional Sandakan, Sekolah Menengah (SM) St. Cecilia dan SMK Agama (SMKA) Tun Juhar.

Katanya, ia menjadikan lapan sekolah menengah ditutup di Sandakan setakat ini selepas empat ditutup minggu lalu.

Beliau turut memaklumkan sebuah lagi tadika swasta turut ditutup susulan pengesanan kes positif COVID-19.

"Sebelum ini, terdapat satu tadika swasta yang telah ditutup susulan terdapat kes positif COVID-19. Hari ni, terdapat satu lagi tadika swasta yang ditutup," kata beliau dalam sidang media laporan harian COVID-19 di negeri ini.

Tadika swasta terbabit ialah Tadika Jati, Taman Haringgton dan Kinabalu International School di sini.

Masidi turut memaklumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di negeri ini dilanjutkan sehingga 18 Februari depan, selaras dengan keputusan di peringkat Persekutuan.

"Pergerakan merentas daerah dan negeri serta aktiviti sosial masih tidak dibenarkan, manakala SOP lain kekal seperti sebelum ini," jelas beliau.

Pada hari ini juga, katanya kerajaan negeri bersetuju untuk membenarkan latihan sukan secara kuarantin bagi Sukan Prestasi Tinggi.

Katanya, ia membabitkan atlet-atlet negeri Sabah bagi persediaan kejohanan antarabangsa, Sukma dan Para Sukma bermula 3 Februari 2021 berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan oleh Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS).

Sementara itu, katanya menurut Laporan Statistik Tenaga Buruh (2020),  kadar pengangguran di Sabah pada suku tahun pertama 2020 menunjukkan kenaikan, iaitu 3.9 peratus berbanding 3.3 peratus (2019).

"Jabatan Perangkaan Malaysia telah mengunjurkan kadar pengangguran di Malaysia, termasuklah Sabah, akan meningkat pada tahun ini berikutan impak penularan pandemik COVID-19.

"Sungguhpun demikian, kerajaan optimis untuk melaksanakan usaha bagi memastikan bahawa impak daripada pandemik COVID-19 ke atas sektor-sektor utama di negeri ini khususnya sektor pekerjaan dapat diminimumkan," tegas beliau.

Sabah merekodkan penambahan 276 kes positif COVID-19 hari ini, dengan empat kes kematian dicatatkan. Bagaimanapun, tiada kluster baru dilaporkan.

Daerah Semporna dan Pitas antara yang terkini bertukar daripada zon merah ke zon jingga, menjadikan jumlah keseluruhan zon merah di Sabah turun kepada 18 daerah.