GEORGE TOWN: Seramai 40 individu dipercayai ahli kongsi gelap ditahan polis semasa menyertai majlis pengenalan dan pendaftaran ahli baru di sebuah restoran mewah di Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Serbuan di lakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Seberang Perai Tengah pada jam 9.30 malam Sabtu selepas menerima maklumat awam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais memaklumkan mereka yang ditahan berusia 22 hingga 56 tahun berasal dari Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Rahimi berkata, siasatan pihaknya mendapati kumpulan kongsi gelap yang berselindung di atas nama sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) itu dipercayai cuba menghidupkan kembali pengaruh mereka di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

“Pemeriksaan mendapati lapan daripada lelaki yang ditahan mempunyai tatu sebuah pertubuhan haram

"Selain itu, pihak polis turut merampas 56 buah telefon bimbit, 2 bentuk cincin, seutas rantai serta sepasang subang yang mempunyai lambang sebuah pertubuhan haram,” katanya dalam kenyataan di laman sosial Facebook PDRM Pulau PInang.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang dan direman untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 ( Kesalahan menganggotai pertubuhan yang menyalahi Undang-Undang ).

Jika disabit kesalahan, mereka boleh dipenjara tidak lebih daripada 3 tahun atau denda tidak lebih daripada RM5,000 atau kedua-duanya.