PETALING JAYA: Seramai 40 individu termasuk pekerja dan pelanggan sebuah pusat hiburan di Sungai Way dikenakan kompaun RM1,500 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam serbuan awal pagi Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, serbuan sekitar jam 4 pagi itu mendapati enam lelaki tempatan sedang bekerja sebagai pelayan dan lima wanita warga asing disyaki pegawai perhubungan pelanggan (GRO) sedang berhibur bersama pelanggan dalam empat buah bilik karaoke berasingan.

Menurutnya, kesemua mereka dikompaun sebanyak RM1,500 seorang kerana gagal memastikan penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka di tempat sesak.

Seramai 40 individu dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 kerana melanggar SOP dalam serbuan di sebuah pusat hiburan.

"Ujian saringan air kencing terhadap kesemua individu berusia dalam lingkungan 19 hingga 70 tahun itu mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis amphetamine, tetrahydrocannabinol dan ketamin," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ku Mashariman memberitahu, polis turut menahan seorang lelaki tempatan yang merupakan pengurus pusat hiburan tersebut.

"Pengurus premis ditahan kerana disyaki menggaji pekerja warga asing tanpa permit dan disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 11(1) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan Negeri Selangor kerana beroperasi lebih masa.

"Selain itu lima wanita warga asing direman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 dan kes disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963," ujar beliau.

Serbuan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.


*Berita asal di Sinar Harian