KUALA LUMPUR: Seramai sembilan petugas kesihatan dikesan dijangkiti COVID-19 setelah menerima dua dos lengkap vaksin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata mereka dijangkiti selepas dua minggu melengkapkan dua dos suntikan vaksin.

Tambahnya, 31 kes lagi yang juga melibatkan petugas kesihatan dikesan kurang dua minggu selepas mendapat dos kedua vaksin COVID-19.

Dalam entri terbaharu Dr Noor Hisham di akaun Facebooknya, beliau turut memaklumkan seramai 142 petugas kesihatan dijangkiti COVID-19 selepas menerima dos pertama vaksin.

Namun kesemua mereka yang dijangkiti tidak menunjukkan simptom yang teruk.

Jelas beliau, ini menunjukkan bahawa walaupun selepas melengkapkan dua dos suntikan vaksin, seseorang individu itu masih boleh dijangkiti COVID-19.

Menurutnya, tiada seorang pun akan selamat selagi virus ini wujud dalam komuniti.

Justeru, beliau menegaskan agar semua individu dapat meneruskan kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

 
Sumber Facebook DGHisham